Adat Mempatih Masyarakat Orang Asli Temuan : Perkahwinan Dan Perceraian

________________________

2.      Perkahwinan dan Perceraian
Terdapat tiga cara melangsungkan perkahwinan iaitu secara bertunang (perkahwinan yang sempurna), tangkap basah dan singkap daun ambil buah (dikenali juga sebagai ‘nasi segeluk’).
a.      Perkahwinan melalui pertunangan
Perkahwinan cara ini dianggap sempurna tetapi ia melibatkan tatacara yang rumit. Ia bermula dengan merisik kemudian diikuti dengan meminang dan akhirnya majlis perkahwinan. Ia digambarkan melalui perbilangan berikut :-
            Orang berhenak betanda baik
            Orang bertanyak dengan suarak
            Orang bertunang bersarung cincin
            Orang bernikah berbayar ada
i.                    Merisik
Sekiranya lelaki dan perempuan menunjukkan minat di antara satu sama lain, si lelaki akan memberitahu keluarganya. Kemudian, ibu bapa lelaki tersebut akan mencari ibu bapa perempuan (atau waris kedim) untuk merisik gadis tersebut. Tujuan merisik adalah untuk menyiasat sama ada gadis yang dihajati itu sudah bersuami ataupun belum. Setelah yakin gadis tersebut belum dipunyai dan dia bersetuju menerima si lelaki, maka ibu bapa kedua-dua belah pihak berbincang untuk menetapkan tarikh pertunangan.
ii.                  Bertunang
Apabila sampai hari pertunangan, pihak lelaki akan menyediakan “barang ganda” atau hantaran. Di antara barang ganda yang perlu disediakan oleh pihak lelaki adalah barangan keperluan wanita dari hujung rambut hingga ke hujung kaki seperti sepit rambut, minyak rambut, sikat, alat solek (bedak, minyak wangi, pewarna kuku), pengetip kuku, cermin muka, benang, jarum, gunting, kain ela, kasut, duit dan banyak lagi. Pihak perempuan pula akan membalas dengan tikar dan bantal. Jika adik berkahwin dulu dari kakak (langkah bendul), si kakak berhak mendapatkan ‘hantaran’ sebagaimana yang diterima oleh adiknya.
Jekerah akan menilai satu persatu barang ganda atau hantaran di hadapan umum yang menyaksikan pertunangan tersebut. Kemudian, Jekerah mengingatkan kepada pasangan yang bertunang, jika pihak perempuan mungkir janji maka pihak lelaki akan menerima dua kali ganda barang ganda atau hantaran. Jika pihak lelaki pula yang mungkir janji, barang ganda atau hantaran tidak boleh dituntut oleh pihak lelaki. Seterusnya, kedua pasangan akan saling menyarung cincin perak, menyuap sekapur sirih dan menyuap rokok. Kedua pasangan juga diberikan amaran supaya mematuhi pantang larang adat, antaranya dilarang berdua-duaan tanpa ditemani saksi. Pasangan dilarang tidur bersama. Jika tertangkap, mereka akan dihukum dan dinikahkan serta-merta. Sepanjang tempoh pertunangan, pihak lelaki mesti menghantar belanja bulanan mengikut kemampuan seperti yang terdapat perbilangan adat, “sudah diikat nak diberi makan”.
Lembaga Adat akan menetapkan tempoh pertunangan sebaik-batiknya tiga bulan dan paling lewat enam bulan. Menjelang tarikh pernikahan (seminggu sebelum pernikahan), pihak lelaki perlu menghantar belanja hangus yang akan digunakan semasa majlis pernikahan nanti.
iii.                Pernikahan
Kal dibuat, janji dilaboh
Janji baru ditangguhkan
Janji lamak ditetapkan
Janji sampai digadohkan
Apabila sampai tarikh perkahwinan (pernikahan), ibu bapa akan mencari saudara mara, waris kedim sebelah mak. Kesemuanya dijemput dengan bujam penjemput dan bujam penerang. Perbilangannya berbunyi :-
      Cicir nak dipungit, hilang nak dicari
      Yang jauh nak dilaung, yang dekat nak dirapat
      Yang jauh nak mencari waris, yang dekat nak mencari pakat
iv.                Malam Berkhenak (berinai)
Pada malam berkhenak (berinai), ibu bapa perempuan akan menuntut Adat Nikah dari ibu bapa sebelah lelaki dengan disaksikan oleh Lembaga Adat. Pada malam itu juga, akan diadakan pemberian barang langkah bendul jika si adik berkahwin dahulu daripada kakaknya.
     
      Orang bersalin berbayar bidan
      Orang matik berbayar sedekah
      Orang bertunang berasrung cincin
      Orang nikah berbayar adat
Adat nikah yang telah ditetapkan oleh Lembaga Adat ialah :-
·         Sirih Sebujam (mengandungi daun sirih, pinang, kapur, gambir, daun rokok, tembakau, mancis atau pemetik api) – Adat 20
·         Duit RM14 (anak buah pusako), RM7.30 (anak buah biasa)
·         Kain putih panjang 10 (10 kaki atau tiga meter)

Setelah diperiksa dan disahkan oleh Jenang, barulah ibu bapa (wali) perempuan dibenarkan menikahkan anak buahnya. Kebiasaannya, majlis pernikahan akan dijalankan keesokkannya paginya.
Setelah selesai upacara menuntut adat, upacara malam berinai dimulakan. Pasangan pengantin akan disandingkan di atas pelamin. Wakil kedua-dua belah pihak akan mempersembahkan pencak silat, kemudian akan meletakkan inai dan tepung tawar di tapak tangan pengantin. Bagi yang tidak tahu bersilat, memadai jika hanya meletakkan inai dan tepung tawar sahaja. Sebagai ganjarannya, mereka akan diberikan bunga telur.
v.                  Persandingan
Kedua-dua bakal pengantin akan ditempatkan di rumah yang berasingan dan membuat persediaan persandingan. Bakal pengantin dilarang melakukan sebarang kerja. Sebelum majlis persandingan bermula, wakil ibu bapa pengantin perempuan akan membawa bujam penjemput ke rumah pengantin lelaki bagi memaklumkan majlis persandingan akan dimulakan.
Kedua-dua pasangan akan diarak sambil diiringi dengan paluan gong dan rebana serta berbalas pantun.semasa diarak, beras basuh akan direnjiskan ke arah pengantin. Setelah sampai di depan balai adat, pengantin perempuan akan masuk dahulu ke ruangan persandingan (pelamin) manakala pengantin lelaki akan menunggu di luar. Upacara ‘merompak’ akan diadakan, di mana pihak perempuan akan membuat halangan di pintu masuk Balai Adat bagi menghalang pihak pengantin lelaki masuk. Manakala keluarga pengantin lelaki perlu merempuh halangan supaya pengantin lelaki dapat masuk dan bersanding bersama-sama dengan pengantin perempuan.
vi.                Majlis Pernikahan
Ibu bapa pengantin perempuan akan mewalikan pasangan tersebut. Caranya, bapa saudara pengantin perempuan akan memegang kedua jari manis lelaki dan perempuan dan melafazkan akad nikah yang berbunyi, “Wali-wali kepada aku, aku nikahkan (nama pengantin perempuan) dengan (nama pengantin lelaki). Rela tak rela?” Beliau akan bertanya kepada saudara mara kedua-dua belah pihak yang ada di balai adat sebanyak tiga kali. Pengantin perempuan perlu menyatakan “rela” terlebih dahulu kemudian akan diucapkan perkara yang sama kepada pengantin lelaki. Setelah kedua-dua pasangan menyatakan persetujuannya dan disahkan oleh orang ramai, acara menyuap ‘nasi kepal’, pinang, sirih dan rokok dijalankan. Ia sebagai simbolik perkongsian hidup di antara suami isteri.
Setelah upacara nikah, adat mengajar pasangan tersebut mengenai kehidupan dan kewajipan berumah tangga, tanggungjawab sebagai suami isteri serta pantang larang yang perlu dipatuhi. Nasihat ini diberikan oleh wakil kedua-dua pihak. Akhir sekali diikuti oleh upacara menyembah dan memperkenalkan kepada suami dan isteri kepada ibu dan bapa mertua, saudara mara (ibu bapa), ipar-duai dan sahabat handai.
Bermula hari ini, harta cari (sepencarian) bagi pasangan tersebut turut bermula. Gelaran Panglima akan diberikan kepada orang semenda (si suami).
vii.              Adat Menyalang (Sambut Menantu)
Selang seminggu dari hari pernikahan, pasangan suami isteri bersama kaum keluarga pengantin perempuan akan pergi ke rumah atau kampung suami. Biasanya akan diadakan majlis makan secara kecil-kecilan bagi memperkenalkan si isteri kepada saudara mara sebelah pengantin lelaki.
b.      Nikah Tangkap Basah ( atau Aduk-Asah)
Cara pernikahan tangkap basah pada asalnya dikenali sebagai ‘Nikah Aduk Basah‘. Aduk bermaksud memberitahu, seperti yang terdapat di dalam perbilangan adat, “tangkap tamat, aduk asah kepada tuhak-tuhak”.
Perbilangan adat di atas bermaksud pasangan yang tertangkap melakukan kesalahan iaitu pasangan melanggar pantang larang Lembaga Adat akan dihadapkan kepada Lembaga Adat. Ibu bapa kedua belah pihak akan dihukum atau didenda sebanyak RM7.30 dan Adat Nikah juga sebanyak RM7.30. Jika pasangan setuju untuk berkahwin, ibu bapa kedua belah pihak diberikan tempoh tujuh hari untuk membuat persiapan perkahwinan. Jika perempuan sudah mengandung, mereka akan dinikahkan dengan segera oleh Batin. Mereka akan dihukum dan dikehendaki membayar RM48.00 berserta sirih sebujam setiap seorang. Pihak lelaki juga dikehendaki membayar Adat Nikah sebanyak RM7.30 (anak buah biasa) atau RM14,00 (anak buah pusako) berserta sirih sebujam.
c.       Nikah Singkap Daun Ambil Buah (Nasi Segeluk)
Pernikahan jenis ini tidak memerlukan perbelanjaan yang besar. Tiada majlis merisik dan pertunangan. Pasangan ini juga tidak melakukan apa-apa kesalahan. Pernikahan jenis ini dijalankan melalui perundingan di antara kedua belah pihak. Jika lelaki dan perempuan bersetuju, mereka akan terus dikahwinkan. Selalunya perkahwinan jenis ini melibatkan pasangan yang kurang berkemampuan. Cara pelaksanaan majlis pernikahan sama seperti yang lain. Cuma kenduri dijalankan secara kecil-kecilan atau majlis minum teh sahaja.
d.      Syarat-syarat Dalam Nikah Kahwin
Dalam perjalanan adat berkaitan perkahwinan, syarat-syarat berikut perlu dipenuhi :
·         Sirih Sebujam (Adat 20)
·         Waris Kedim atau Wali (Pakcik sebelah mak [mamak] atau ibu bapa pasangan pengantin)
·         Saksi – paling kurang seorang (Lembaga Adat)
·         Adat nikah RM7.30 (orang biasa), RM7.30 (anak buah Lembaga Adat), RM14.00 (anak buah Batin atau Mangku)
·         Kain putih panjang 10 (10 kaki atau 3 meter)
e.       Putus Tunang
Semasa majlis pertunangan, Jekerah akan menilai setiap barangan hantaran yang diterima oleh pihak perempuan. Tujuannya adalah apabila berlakunya putus tunang yang disebabkan kesalahan perempuan, maka pihak perempuan perlu memulangkan semula dua kali ganda “barang ganda” kepada si lelaki. Tetapi sebaliknya jka lelaki yang menyebabkan putus tunang tersebut maka barang yang telah diberi kepada perempuan tidak akan dipulangkan semuala (tidak boleh dituntut).
f.       Bercerai
Perceraian boleh berlaku sekiranya pasangan suami isteri sudah tidak ada keserasian lagi. Jika mengikut peraturan yang betul, pasangan yang ingin bercerai perlu memaklumkan kepada ibu bapa masing-masing dan menerangkan masalah mereka. Selalunya mereka akan diberi nasihat terlebih dahulu. Jika masih tiada penyelesaian maka perceraian akan berlaku seperti yang digambarkan di dalam perbilangan adat di bawah :-
            Kasih berturut benci bertolak
            Kalau kasih berbentang tikar
            Kalau bencik bergulung tikar
            Perahu yang ditamat dibukak
            Galah yang disandar digalung
Dalam Adat Temuan, terdapat lima cara perceraian iaitu :-
i.                    Talak Satu dan Talak Dua – suami melafazkan talak. Talak satu dijatuhkan pada kali pertama pasangan tersebut bercerai dan diikuti dengan talak dua. Perceraian dengan talak satu dan dua boleh dirujuk. Jika bercerai dengan talak satu, suami perlu membayar RM1.00 kepada isteri dan disaksikan oleh Lembaga Adat.
ii.                  Talak tiga – suami perlu membayar 1 sen atau boleh juga beri sebatang jarum (sebagai tanda perceraian). Apa yang dimaksudkan dengan perceraian talak tiga ialah suami melafazkan talak tiga semasa menceraikan isterinya. Contohnya, “Aku ceraikan kau (nama isteri) denga talak tiga”. Ia akan dikira talak tiga walaupun untuk pertama kali bercerai. Suami isteri bercerai dengan talak tiga tidak boleh rujuk semula melainkan isteri telah berkahwin dengan lelaki lain terlebih dahulu sebelum boleh dirujuk oleh suami. Setelah isteri bercerai dengan suami baru, pasangan tersebut boleh berkahwin semula. Tatacara ini dikenali sebagai perkahwinan ‘Cina Buta’. Segala perbelanjaan cina buta akan ditanggung oleh bekas suami. Dalam masalah ini, orang yang beradat tidak boleh menjadi cina buta (pak sanggup) kerana nanti tidak boleh membawa pusaka. Orang yang menjadi cina buta adalah orang yang tidak beradat.
Selain melafazkan talak, perceraian juga boleh berlaku dalam keadaan tertentu iaitu :-
i.                    Perceraian Secara ‘Automatik’ – perceraian ini boleh berlaku sekiranya suami tidak menjenguk dan memberikan nafkah zahir (duit belanja) dan batin kepada isteri tanpa sebab tertentu. Jika suami belayar ke laut selama enam bulan atau mengembara di darat tiga bulan (tiga kali datang haid) tanpa berita, isteri berhak mendapatkan cerai ini. Dalam erti kata lain, sekiranya dalam tempoh tersebut suami tidak datang menghantar belanja atau menjenguk anak isteri maka secara automatik perkahwinan mereka terbatal. Dan jika ada yang melamar, si isteri boleh berkahwin.
ii.                  Perceraian Dengan Pampasan – perceraian ini boleh berlaku sekiranya isteri mempunyai lelaki lain sedangkan dia masih menjadi isteri orang. Jika isteriingin berkahwin dengan kekasihnya, si suami boleh meminta pampasan dan isteri akan dihukum oleh Lembaga Adat sebanyak RM7.30. “Cincang Pampas, Tikam Beri Balas”.
iii.                Isteri Menceraikan Suami -  pada umumnya, isteri tidak boleh menceraikan suami. Namun, isteri boleh menuntut cerai dari Batin berserta dengan alasan yang kukuh seperti suami tidak bekerja, tidak bertanggungjawab, menghina keturunan, mendera dan mencederakan isteri. Jika isteri ingin bercerai suami, isteri akan dihukum RM40.00.
g.      Iddah
Selepas bercerai, orang lelaki boleh terus kahwin lain tetapi perempuan perlu tunggu habis iddah. Iddah perempuan ialah tiga bulan sepuluh hari atau tiga pusingan haid.
h.      Rujuk
Pasangan yang bercerai boleh rujuk semula dengan syarat mereka bercerai dengan talak satu dan dua. Cara-cara untuk merujuk ialah :-
·         Sirih Sebujam (Adat 20)
·         Minta semula dari waris bekas isteri dan disaksikan oleh Lembaga Adat
·         Jika Batin menyelesaikan, suami dihukum RM14.00 (satu bahara)

Kalau merujuk isteri yang dicerai dengan talak tiga perlu kahwin cina buta dahulu sebelum berkahwin dengan bekas isteri.

_________________________

Kertas kerja ini telah dibentang oleh Prof Madya Dr Juli Edo, Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya sempena program Forum Kurator di Audiotorium JMM pada 12 Mei 2011 yang lalu.

Be Sociable, Share!

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *