Biografi : Yang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin Ibni Tunku Muhriz

Yang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin, 31, adalah putera sulung kepada Duli Yang Maha Mulia Tunku Muhriz dan Yang Maha MUlia Tengku Aishah Rohani. Baginda diputerakan di Hospital Universiti, Kuala Lumpur pada 26 April 1977, tiga tahun satu hari selepas perkahwinan ayahanda dan bonda baginda.

Baginda dibesarkan dan menetap di Kuala Lumpur serta mendapat pendidikan awal di Sekolah Sri Inai Junior dan The Alice Smith School. Baginda sering pulang ke Negeri Sembilan untuk menziarahi nenda baginda di Seremban dan kerapkali bercuti di Port Dickson. Baginda juga sering ke Kuala Trengganu menziarahi kampung halaman bonda baginda.

Pada tahun 1990, Tunku Ali meneruskan pengajian di Marlborough College, Wiltshire di United Kingdom di mana baginda mendapat pendidikan di peringkat GCSE (‘O’ Levels) dan GCE ‘A’ Levels. Di samping pencapaian akademik, baginda menampilkan ciri-ciri kepimpinan sebagai kapten rumah dan bergiat aktif mewakili kolej dalam sukan badminton dan bola keranjang. Baginda juga menjalani latihan asas ketenteraan dengan menganggotai Angkatan Kadet Campuran (CCF).

Baginda mencapai keputusan cemerlang di peringkat ‘A’ Level dan dianugerahkan biasiswa Sime Darby / Cambridge Commonwealth Trust untuk melanjutkan pelajaran di Cambridge University dalam bidang Sejarah dan Sains Sosial & Politik dan seterusnya dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Kepujian, BA (Hons) dalam tahun 1998. Baginda juga amat aktif sewaktu di universiti; baginda dilantik sebagai ahli jawatankuasa Persatuan Warga Malaysia di universiti dan sebagai Bendahari, Cambridge University Orient Express, sebuah persatuan ang ditubuhkan bagi meningkatkan kesefahaman budaya di antara pelbagai kebudayaan di Asia dan juga di United Kingdom.

Pada tahun 1998, Tunku Ali memulakan kerjaya di London bersama McKinsey & Company, sebuah firma perundingan korporat dan strategi antarabangsa. Di McKinsey, baginda terlibat dalam membantu pihak kerajaan dan syarikat swasta besar dalam khidmat strategi, pada mulanya di Eropah dan Amerika Syarikat. Pada tahun 1999, baginda memutuskan untuk berkhidmat di tanahair dan Tunku Ali pulang ke Malaysia untuk meneruskan kerjaya baginda McKinsey Kuala Lumpur,menasihati syarikat-syarikat dan kerajaan -kerajaan di rantau Asia.

Pada tahun 2004, baginda telah menyertai Khazanah Nasional Berhad, sebuah agensi pelaburan strategik kerajaan Malaysia, dengan hasrat untuk berkhidmat dan menyumbang kepada negara. Baginda terlibat secara aktif dalam beberapa projek transformasi dan pelaburan strategik di dalam dan di luar negara. Di Khazanah, baginda bertugas sebagai Pengarah Pelaburan dan juga Ahli Lembaga Pengarah di Asia Capital Reinsurance Malaysia.

Di samping memberi tumpuan terhadap kerjaya dan keluarga baginda, Tunku Ali gemar meluaskan pengalaman dan pemikiran dengan melancong, membaca dan aktiviti-aktiviti riadah. Baginda juga merupakan penggemar sejarah dan sehingga kini masih tekun membaca buku sejarah, sastera mengenai riwayat hidup dan hikayat-hikayat sejarah.

Baginda berharap agar dapat berbakti dan memainkan peranan yang penting dan berpanjangan dalam kemajuan dan kebajikan rakyat Negeri Sembilan.

Sumber : Buku Aturcara Istiadat Pengurniaan Gelaran Pusaka Tunku Besar Seri Menanti

Be Sociable, Share!

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *