Bugis Linggi

SEJARAH BUGIS DI LINGGI, NEGERI SEMBILAN

Mohd Khairil Hisham bin Mohd Ashaari

Penulis Bebas dan Penyelidik Bebas

———————————————————————————————————————

ABSTRAK

Kemasukan orang Bugis ke Rembau telah membuka satu lembaran baru di dalam sejarah Negeri Sembilan. Kedatangan orang Bugis ini diterima dengan baik, diberikan penghormatan dan dilindungi oleh Penghulu Rembau. Namun, oleh sebab sistem kemasyarakatan dan kehidupan yang berbeza dengan masyakarat Adat Perpatih maka orang Bugis telah berhijrah dan akhirnya membuka Linggi. Pembukaan Linggi membuktikan bahawa mereka mampu hidup walaupun berada di dalam kelompok berbeza. Linggi wujud sebagai kerajaan sendiri, mempunyai sistem pentadbiran yang teratur, sistem ketenteraan yang kuat dan mampu bertahan hampir selama dua ratus tahun. Pengalaman dan perkembangan masyarakat Bugis Linggi telah membina satu sistem kemasyarakatan dan kebudayaan Bugis Linggi yang tersendiri dan unik. Masyarakat Bugis Linggi mengamalkan adat yang dikenali sebagai ‘Adat Linggi’ atau ‘Adat Muafakat dan Kebulatan’. Adat ini amat berbeza dengan adat yang diamalkan oleh masyarakat Bugis di Johor, Selangor mahupun Sulawesi.  Ini menunjukkan seolah-olah tidak sebarang perkaitan mahupun perhubungan dengan kelompok Bugis di luar Linggi. Di samping itu, peranan dan kemampuan Linggi di dalam mengawal lalu lintas perdagangan di Sungai Linggi menyebabkan Linggi sentiasa dicemburui oleh pembesar-pembesar adat Negeri Sembilan dan juga Inggeris. Masyarakat Bugis Linggi dianggap sebagai satu kelompok sosial yang kuat, mampu berdiri sendiri dan  berjuang dengan gigih di dalam apa jua keadaan dan cabaran demi untuk mempertahankan kedaulatannya. Kemampuan Linggi membina sistem kemasyarakatannya sendiri menyebabkan Linggi dihormati dan digeruni oleh rakan dan musuh. Apa jua cabaran dan halangan yang berlaku di dalam kelangsungan masyarakat Bugis Linggi dan Adat Linggi, Linggi telah berjaya memainkan peranan penting di dalam pembentukan Negeri Sembilan moden.

———————————————————————————————————————

1.         Pengenalan

Apabila kita membicarakan mengenai Negeri Sembilan, ramai pengkaji mahupun ahli akademik akan mengaitkannya dengan Adat Perpatih dan Minangkabau. Negeri Sembilan sering digambarkan sebuah negeri yang mengamalkan Adat Perpatih sepenuhnya. Malah Negeri Sembilan digelar sebagai  “Negeri Beradat”. Apa jua yang dilakukan oleh masyarakat Negeri Sembilan akan dikaitkan dengan Adat Perpatih. Ini menunjukkan betapa rapatnya Negeri Sembilan dengan Minangkabau. Ini tidak dapat dinafikan kerana secara tradisinya, Negeri Sembilan dibahagikan kepada beberapa luak iaitu Luak Rembau, Luak Sungai Ujong, Luak Johol, Luak Jelebu, Luak Tanah Mengandong dan Wilayah Tampin. Ini menyebabkan ramai yang beranggapan bahawa keunikan Negeri Sembilan adalah disebabkan oleh pengamalan Adat Perpatihnya.

 

Pendapat ini masih lagi boleh diperdebatkan dan diperbincangkan. Memang secara umumnya, majoriti masyarakat Negeri Sembilan mengamalkan Adat Perpatih dan merupakan penghijrah yang datang dari Tanah Minangkabau. Namun jika dilihat secara terperinci, terdapat beberapa kelompok masyarakat yang bukan dari Tanah Minangkabau berhijrah ke Negeri Sembilan dan mampu untuk membina ketamadunan mereka yang tersendiri tanpa dipengaruhi walaupun berada di dalam kelompok masyarakat Adat Perpatih. Salah satu masyarakat yang berjaya menempatkan kelompok mereka di Negeri Sembilan dan memainkan peranan penting di dalam pembinaan sejarah Negeri Sembilan moden ialah masyarakat Bugis. Masyarakat Bugis telah berhijrah dari Riau ke Rembau dan akhir sekali menetap di Linggi sehingga mampu mengawal perdagangan di Sungai Linggi.

 

Jika dilihat dari segi sosio politik masa kini, Linggi tidak mempunyai sebarang kedudukan atau kepentingan di dalam pentadbiran Negeri Sembilan sama ada pentadbiran adat atau pentadbiran moden. Ini amat berbeza pada satu dahulu ketika Linggi berada di dalam zaman keagungannya. Linggi dianggap sebuah kuasa yang terpenting di dalam mengawal perdagangan di Sungai Linggi sehingga menyebabkan Inggeris, Dato’ Kelana Sungai Ujong, Penghulu Rembau dan Dato’ Syahbandar merasa tergugat dan berusaha untuk menguasai pentadbiran Linggi. Linggi berjaya menonjolkan kemampuannya mengawal politik Negeri Sembilan hampir 200 tahun sehingga ia menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar-pembesar adat di Negeri Sembilan. Linggi sering kali terlibat di dalam peperangan mahupun persengketaan bagi menentukan siapakah yang layak mengutip cukai dan mengawal perdagangan di Sungai Linggi.

 

2.         Kemasukan Masyarakat Bugis Ke Negeri Sembilan

Sering kali berlaku kekeliruan di kalangan pengkaji di dalam mengkaji sejarah Linggi di antara Kuala Linggi dan Linggi. Kekeliruan berlaku apabila Kuala Linggi ditulis sebagai Linggi. Jika dilihat dari segi lokasi, ia berada di dalam kawasan yang berbeza dan jauh antara satu sama lain di mana Kuala Linggi berada di Melaka dan berhampiran dengan laut manakala Linggi berada di Negeri Sembilan dan berhampiran dengan sungai. Namun begitu, aliran Sungai Linggi di Linggi menuju ke kuala di Kuala Linggi.

 

 

Ini jelas disebut di dalam Tuhfat Al-Nafis

 

Sebermula kata sahib al-hikayat adalah di Kuala Linggi itu orang Bugis-Bugis Selangor memulai memasang belat mengambil ikan. Maka datanglah suruhan Penghulu Linggi ini minta hasil. Maka jawab Bugis itu, sehari-hari pada tempat ini tiada diambil hasil kerana pekerjaanku ini bukannya di dalam Linggi, ikan di laut mana-mana rezekiku masuklah ia dan mana-mana ia tidak lepaslah ia….1

 

Kenyataan di dalam Tuhfat Al-Nafis jelas menunjukkan bahawa Kuala Linggi berbeza dengan Linggi. Ia juga menjelaskan bahawa Kuala Linggi telah mempunyai penempatan penduduk lebih awal iaitu mungkin akhir abad 17 atau awal tahun 1700an manakala Linggi hanya diduduki dalam tahun 1800. Linggi yang dimaksudkan di dalam kertas kerja ini adalah Mukim Linggi, Negeri Sembilan.

 

Linggi merupakan salah satu daripada mukim yang terdapat di Negeri Sembilan di mana ia terletak di dalam daerah Port Dickson. Keluasan Linggi adalah lebih kurang 176.6 kilometer persegi. Bilangan penduduk hanya seramai 8,161 orang2. Linggi terdiri daripada 5 kampung iaitu Kampung Linggi, Kampung Permatang Pasir, Kampung Pengkalan Durian, Kampung Tampin Linggi dan Kampung Barisan. Jika dilihat dari segi kedudukan Linggi, ia bersempadan dengan daerah Rembau, daerah Seremban dan Melaka yang hanya dipisahkan oleh Sungai Linggi. (Rujuk Peta 1)

peta linggi

Peta 1 : Peta Linggi 3

 

Manuskrip Imam Ambak dan Manuskrip Orang Yang Mula-mula Membuka Linggi menerangkan bahawa Dato’ Awaluddin4 dan Dato’ Serilah5 bersama suaminya, Lebai Kunut6 merupakan anak7 Daeng Chelak yang juga dikenali sebagai Sultan Alauddin Syah8. Daeng Chelak dikatakan telah mengarahkan Dato’ Awaluddin bersama Dato’ Serilah dan Lebai Kunut pergi ke Sulawesi untuk mengambil harta pusaka yang tertinggal ketika peperangan di sana. Dato’ Awaluddin telah dilengkapkan dengan kelengkapan peperangan yang mencukupi bagi melaksanakan hasrat Daeng Celak. Ketika berlabuh di suatu tempat Dato’ Awaluddin berbincang dengan Dato’ Serilah dan Lebai Kunut bersama-sama pasukannya memikirkan kaedah bagaimana untuk mendapatkan barang tersebut tanpa berperang. Mereka bersepakat untuk membincangkan corak pemerintahan yang harus dijalankan oleh pemerintah (Sultan) berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Sesiapa yang mampu mengupas ayat Al-Quran tersebut dengan baik dan tepat akan dianggap sebagai pemenang. Ayat Al-Quran yang dipilih ialah :-

qura

Dan Sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (Wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya. (Surah Al-Hijr : 87)

 

Besar kemungkinan Dato’ Awaluddin memikirkan bahawa mereka yang akan diperangi merupakan sanak saudara mereka tambahan pula Dato’ Awaluddin lebih mengutamakan persaudaraan dan perdamaian. Ini mungkin disebabkan latar belakangnya berpendidikan agama.

 

Di dalam pertandingan tersebut, pihak Dato’ Awaluddin mampu memberi tafsiran yang tepat apa yang dikatakan pemerintahan yang baik dan perkaitannya dengan ayat yang dibaca. Oleh yang demikian, beliau dapat membawa pulang barang yang sepatutnya. Setibanya di Riau, Daeng Celak menjadi marah apabila mengetahui bahawa Dato’ Awaluddin mendapat harta tersebut tanpa peperangan dengan alasan ia memalukannya sebagai Yang Dipertuan Muda Riau dan berketurunan Bugis. Ini adalah kerana ia berlaku dengan tipu muslihat bukan dengan kekuatan ketenteraan. Dato’ Awaluddin telah diarahkan untuk memulangkannya semula. Ini telah menimbulkan perasaan kecewa Dato’ Awaluddin kerana Daeng Celak berkeras mahukan perkara ini diselesaikan dengan peperangan. Ini menyebabkan Dato’ Awaluddin, Dato’ Serilah bersama Lebai Kunut mengambil keputusan untuk keluar dari Riau dengan meninggalkan segala identitinya dan mencari tempat kehidupan yang baru.

 

Sebagaimana dinyatakan oleh Manuskrip Imam Ambak :-

 

“ Maka muafakat keduanya mengatakan dia sangat benci kepada adat ayah bondanya. Baik kita pergi mencari tempat yang sederhana dan kita pantangkan daripada menyatakan pangkat Raja dan kita pantangkan semenda menyemenda dengan Raja dan kita pantangkan semenda menyemenda dengan jariah orang dan kita pantangkan memakai adat bugis melainkan kita mengikut adat kitab dan sunah.

 

Ini merupakan persumpahan yang masih dipegang oleh waris Linggi sehingga kini di mana mereka tidak mengangkat sembah ketika mengadap Sultan. Bukan itu sahaja, waris Linggi dilarang berkahwin dengan keluarga raja dan menggunakan gelaran nama seperti Raja, Tengku atau apa jua yang berkaitan dengan raja. Mereka juga dilarang untuk berkahwin dengan golongan hamba bagi menjaga taraf kedudukan mereka melainkan hamba tersebut telah dimerdekakan. Sekiranya ada waris yang berkahwin dengan golongan hamba, keturunan waris itu tidak layak menyandang sebarang pusaka Linggi dan tidak lagi dianggap sebagai waris.

 

kubur hamba

Gambar 1 : Kawasan perkuburan hamba, pesalah dan waris Linggi yang melakukan kesalahan berat.

 

Kedatangan kelompok Bugis ke Rembau diketuai oleh Dato’ Awaluddin bersama kakaknya Dato’ Serilah, Lebai Kunut, suami Dato’ Serilah bersama-sama pengikut-pengikutnya. Pada peringkat awal, mereka menetap di Batang Tiga, namun disebabkan telah wujud perkampungan masyarakat Bugis di Batang Tiga menyebabkan  perasaan tidak selesa di kalangan pengikut Dato’ Awaluddin. Mereka berpindah dan membuka perkampungan di Pengkalan Balak berhampiran dengan Kuala Sungai Baru, Melaka.

 

Sebahagian daripada pengikut Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah menetap di Pengkalan Balak manakala sebahagiannya meneruskan perjalanan bersama-sama Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah ke Rembau. Mereka telah menyelusuri Sungai Linggi dan Sungai Rembau sehingga mendarat di Penajis. Bagi mengelakkan sebarang persengketaan dan salah faham di antara  pengikut Dato’ Awaluddin dan penduduk Rembau, beliau telah berjumpa dengan Penghulu Rembau9 , Dato’ Lela Maharaja10 Lulinsuh bagi mendapatkan keizinan untuk membuka perkampungan di Rembau. Penghulu Rembau telah membenarkan Dato’ Awaluddin bersama-sama pengikutnya membuka perkampungan berhampiran Sungai Penajis iaitu Penajis Bandar11. Perkara ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar-pembesar adat Rembau kerana mereka khuatir kemasukan masyarakat Bugis akan menyebabkan pergaduhan. Pembesar-pembesar Rembau memahami sifat orang Bugis di dalam menentukan corak pemerintahan di sesuatu yang didudukinya. Namun, Penghulu Rembau telah dapat meyakinkan pembesar-pembesar adat di Rembau bahawa Dato’ Awaluddin tidak akan bertindak untuk merampas kuasa. Penghulu Rembau juga menghormati Dato’ Awaluddin sebagai ahli keluarga Yang Dipertuan Muda Riau, Daeng Kemboja yang pernah menetap di Pedas. Tambahan pula, sifat Dato’ Awaluddin yang sentiasa merendah diri dan tinggi ilmu agamanya menyebabkan Penghulu Rembau membenarkan Dato’ Awaluddin menetap di Penajis. Malah, Penghulu Rembau telah melantik Dato’ Awaluddin sebagai guru agama bagi keluarganya dan ahli-ahli warisnya12.

 

Ketika di Penajis, Dato’ Awaluddin merasakan masyarakat Bugis berada di dalam keadaan tidak selesa dan tersepit. Ini disebabkan masyarakat sekeliling mereka mengamalkan adat yang amat berbeza iaitu Adat Perpatih dan mereka sentiasa dipandang sinis oleh orang-orang Rembau. Dato’ Awaluddin memohon keizinan daripada Penghulu Rembau untuk mencuba nasib dengan membuka perkampungan baru. Penghulu Rembau memahami masalah yang dihadapi oleh Dato’ Awaluddin dan membenarkan Dato’ Awaluddin membuka perkampungan baru di penghujung Sungai Linggi.

 

Pada tahun 1770, Dato’ Awaluddin, Dato’ Serilah, Lebai Kunut bersama pengikut-pengikutnya telah pergi ke satu kawasan lembah. Mereka telah membuka perkampungan di kawasan tersebut dan mendapati kawasan tersebut tidak sesuai untuk dijadikan perkampungan kerana sering dilanda banjir. Keadaan ini telah menyebabkan Dato’ Awaluddin kembali ke Penajis. Kepulangannya telah disambut dengan baik oleh Penghulu Rembau, Dato’ Lela Maharaja Lulinsuh.

 

Di penghujung tahun 1776, Marhum Janggut13 telah datang ke Kuala Linggi untuk berjumpa dengan Penghulu Rembau, Dato’ Lela Maharaja Lulinsuh dan Dato’ Awaluddin dengan tujuan untuk membawa  pulang Dato’ Awaluddin, Dato’ Serilah dan Lebai Kunut pulang ke Riau. Tujuan membawa pulang Dato’ Awaluddin dipercayai adalah untuk membantu Riau berperang dengan Belanda dan juga ingin memastikan peralihan kuasa jawatan Yang Dipertuan Muda Riau seterusnya berlaku dengan baik. Permintaan Marhum Janggut ditolak dengan baik oleh Penghulu Rembau dengan menyatakan :-

 

Tidak menjadi keberatan bagi pihak kami sekiranya Paduka Tuanku ingin membawa pulang Awaluddin ke Riau. Kami amat berbesar hati sekiranya Paduka Tuanku dapat mengizinkannya tinggal bersama-sama kami di Rembau. Telah kami anggapnya sebagai anak dan guru kami di Rembau. Kami serahkan kepada Awaluddin membuat keputusan14.

 

Apabila mendengar kata-kata Penghulu Rembau, Marhum Janggut menyerahkan keputusan untuk pulang ke Riau kepada Dato’ Awaluddin. Permohonan ini telah ditolak oleh Dato’ Awaluddin dan beliau memohon agar tinggal di Rembau sebagaimana yang dijanjikan ketika mereka keluar dari Riau. Mendengar jawapan ini, Marhum Janggut menyatakan bahawa :

 

Kalau begitu kehendak saudara kami, kami izinkan saudara kami tinggal bersama-sama Paduka Dato’. Jagalah ia sebagaimana Paduka Dato’ menjaga keluarga Paduka Dato’. Jangan dihina, dicaci dan jagalah maruah mereka seumpama maruah Paduka Dato’. Berikanlah mereka kedudukan yang sesuai dengan taraf keluarga kami kerana saudara kami adalah darah daging kami.15

 

Ini diperkukuhkan lagi dengan kata-kata Daeng Kemboja kepada Penghulu Rembau :-

 

“Jika Orang Kaya berkehendakkan Awaluddin ini tinggal bersama-sama Orang Kaya di Rembau, benarkan dia memakai aturan dan adat sendiri tidaklah boleh ia memakai Adat Tok Patih”. 16

 

Ini disebut di dalam perbilangan masyarakat Bugis Linggi :-

 

            Meliang biar tembus

            Memancung biar putus

            Naik tidak bertangga

            Turun tidak berpintu

            Makan biarlah habis di sini

            Linggi habis di Linggi

            Bergajah Tunggal

Perbilangan ini bermaksud Dato’ Awaluddin diberi kuasa penuh dan tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak. Beliau akan menentukan corak pentadbiran pemerintahan dan adat yang ingin diamalkan oleh masyarakat Bugis. Kelompok ini tidak boleh dipaksa atau diminta mengikuti adat yang diamalkan oleh orang Rembau iaitu Adat Perpatih. Ia telah dipersetujui oleh Penghulu Rembau. Dengan itu, Dato’ Awaluddin diberi satu kawasan untuk ditadbir sendiri. Namun, keadaan Dato’ Awaluddin telah tua dan uzur, beliau tidak lagi berminat untuk berhijrah bagi membuka kawasan baru.

 

Dalam tahun 1800, sekelompok masyarakat Bugis di Rembau yang terdiri daripada anak, cucu Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah seramai 7 orang telah memohon keizinan daripada Penghulu Rembau untuk membuka perkampungan selaras dengan perjanjian di antara Daeng Kemboja dan Penghulu Rembau. Kelompok ini diketuai oleh Lebai Dolman dan pengikutnya. Mereka telah pergi semula ke kawasan yang pernah dibuka oleh Dato’ Awaluddin, Dato’ Serilah dan Lebai Kunut sebelumnya.

 

3.         Pembukaan Linggi

Nama Linggi berasal dari buritan di bahagian belakang kapal di mana ia ditemui oleh orang yang membuka Linggi. Menurut Manuskrip Linggi bahawa ketika orang-orang Bugis meneroka mereka telah berjumpa dengan bahagian belakang buritan kapal yang dikenali sebagai Linggi. Oleh yang demikian, mereka mengambil keputusan perkampungan yang baru dibuka dipanggil sebagai Linggi.

 

Ia juga dijelaskan oleh Gullick17 :-

 

“The name “Linggi” is said to come from the of a ship (linggi). The story goes that the founder of the modern settlement found part of a ship when he was exploring in 1783 and so the country takes its name”

 

Linggi mula-mula dibuka dan diteroka secara rasminya pada tahun 1800. Manuskrip ‘Fasal Peringatan Orang Yang Mula-Mula Membuka Linggi” ada dinyatakan bahawa :-

 

“Sanat 1215, mula-mula Linggi dibuka Tok Lebai Dolman berdua beradik dengan Tok Kanda Ali18 kemudian tidak berapa lamanya datang pula Tok Haji Kassim bin Khatib Jamaludin anak Tok Awal”.

 

Manakala Manuskrip Membuka Linggi Imam Ambak19 menyatakan bahawa

 

…..Ada pun yang mula-mula berjumpa kelayakkannya itu iaitu Tok Sulung Mahmud suami isteri dinamakan Pengkalan Kundang. Kemudian berjalan sekaliannya mengulu maka berjumpalah mereka itu satu rumah orang namanya Tok Suboh suami isteri halnya sudah lama di situ dia dari Negeri Sumatra. Maka Tok Jenu dan Tok Ibrahim tinggallah di rumah Tok Suboh itu menanti kerana ia sudah tuha. Kemudian berjalan mereka itu mengulu lagi maka berjumpalah Tok Kekanda suami isteri akan tempat kelayakkannya dinamakan Kampung Hilir. Kemudian berjalan mereka itu mengulu lagi maka berjumpa Tok Dolman suami isteri akan tempat kelayakkannya dinamakan Kampung Tengah. Kemudian berjalan mereka itu mengulu lagi maka berjumpalah Tok Haji Mohamad Kassim suami isteri akan tempat kelayakkannya dinamakan Kampung Hulu. Kemudian berjalan mereka mengulu lagi maka berjumpalah Tok Khatib Musa suami isteri akan tempat kelayakkannya Kampung Telok Rumbia. Kemudian berjalan mereka itu mengulu lagi maka berjumpalah Tok Noh suami isteri akan tempat kelayakkannya dinamakan Kampung Tampin.

 

Jika dilihat manuskrip ‘Fasal Peringatan Orang Yang Mula-mula Membuka Linggi menyatakan bahawa Linggi dibuka oleh Lebai Dolman dalam tahun 1800 dan diikuti oleh ahli keluarganya yang lain. Manuskrip Membuka Linggi Imam Ambak juga menceritakan pembukaan Linggi dilakukan oleh Lebai Dolman di mana ia menceritakan lebih terperinci mengenai individu-individu yang membuka setiap kampung di Linggi. Manuskrip ini juga menyatakan bahawa terdapat satu keluarga orang Minangkabau yang telah menetap di situ. Perkara ini tidak mustahil jika dilihat di dalam pensejarahan Jelebu20 ada menyebut satu keluarga orang asli yang berpindah ke Pengkalan Dian sekarang. Namun, keluarga ini berpindah setelah kemasukan orang Bugis ke Linggi. Kekeliruan di dalam menentukan sama ada orang Minangkabau atau orang asli adalah kerana orang asli Negeri Sembilan telah mula menerapkan cara-cara kehidupan orang Minangkabau yang berhijrah ke Negeri Sembilan.

 

Penghijrahan orang-orang Bugis dari Rembau ke Linggi merupakan titik tolak pembangunan ketamadunan masyarakat Bugis Negeri Sembilan. Mereka bebas mengamalkan adat resam yang dibina mengikut kesesuaian tempat dan kehidupan mereka di Linggi. Mereka tidak lagi mengamalkan Adat Bugis sama ada di Sulawesi mahupun di Riau dan juga tidak mengamalkan Adat Perpatih sebagaimana masyarakat Rembau pada ketika itu. Mereka mengamalkan adat budaya mereka sendiri yang dikenali sebagai “Muafakat bil Kitab wassunnati Qabulatan Minal Ustaz Ilamanati21” yang membawa maksud “Muafakat Berteraskan Kitab Al-Quran dan Sunah Nabi s.a.w. dan Berkebulatan juga Mentaati Ajaran Guru-guru”. Adat ini juga dikenali sebagai “Adat Linggi, Adat Bermaharalela Berlandaskan Hukum Syarak22

 

Selepas pembukaan Linggi yang diketuai oleh Lebai Dolman, ramai orang Bugis yang menetap di Penajis telah berhijrah ke Linggi manakala ada yang masih menetap di Penajis bersama-sama Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah23. Ketika ini, mereka dipimpin oleh Lebai Dolman sebagai Penghulu Linggi yang pertama. Lebai Dolman memerintah selama 3 tahun bermula dari tahun 1800 sehingga tahun 1803. Dalam tahun 1803, Lebai Dolman telah menyerahkan jawatannya sebagai Penghulu kepada bapa saudaranya24, Juragan Abdul Rahman (1803 – 1820). Penyerahan ini disebabkan kebolehan dan kemampuan Juragan Abdul Rahman25 di dalam perdagangan. Lebai Dolman yakin dan percaya bahawa dengan perdagangan mampu menaikkan Linggi sebagai sebuah kuasa yang mampu berdiri sendiri tanpa bergantung dengan mana-mana pihak. Ketika zaman Juragan Abdul Rahman menjadi Penghulu, beliau telah melantik menantunya, Mohd Kattas sebagai wakil beliau sehingga Mohd Kattas dikenali sebagai Dato’ Muda. Ini jelas apabila ada arahan26 yang disampaikan, orang Linggi akan bertanya siapakah yang memberi arahan sama ada Tok Tua atau Tok Muda. Juragan Abdul Rahman berusaha membersihkan Sungai Linggi bagi membolehkan pedagang berdagang sehingga ke Sungai Ujong. Bagi menampung perbelanjaan membersihkan sungai tersebut, Juragan Abdul Rahman telah mengenakan cukai kepada pelombong-pelombong yang melalui Sungai Linggi. Ini menyebabkan Syahbandar Sungai Ujong merasa hairan kerana kemasukan ramai pedagang ke Sungai Ujong. Beliau telah mengarahkan pengikutnya menyiasat di sepanjang Sungai Linggi dan didapati terdapat satu perkampungan di hulu Sungai Linggi. Dato’ Syahbandar dapati Linggi ditadbir oleh orang Bugis, anak Penghulu Rembau maka beliau telah memanggil Juragan Abdul Rahman untuk berbincang. Peristiwa ini diterangkan di dalam perbilangan :-

 

Linggi beribukan Rembau, berbapakan Syahbandar

 

Oleh disebabkan beberapa peristiwa yang berlaku di antara Juragan Abdul Rahman dan Raja Ali, Juragan Abdul Rahman menyerahkan pentadbiran kepada Dato’ Mohd Kattas (1820 – 1850). Oleh sebab beliau lebih dikenali sebagai Dato’ Muda maka gelaran itu kekal sehingga sekarang. Setelah itu, Juragan Abdul Rahman menetap dan meninggal dunia di Tanjung Pinang27. Ketika pemerintahan Dato’ Muda Mohd Kattas, Linggi telah berjaya membina kekuatan yang tersendiri sehingga mampu mengawal perdagangan di Sungai Linggi. Linggi juga menjadi satu kuasa tentera yang kuat pada ketika itu di mana Linggi pernah turut serta di dalam beberapa peperangan yang besar seperti Perang Rembau-Naning, Perang Sungai Ujong, Perang Simpang, Perang Linggi-Rembau dan lain-lain. Dato’ Muda Mohd Kattas telah berjaya membawa Linggi ke satu tahap di mana sebarang perbincangan di antara Sungai Ujong, Rembau, Belanda, Inggeris, Naning dan Lukut perlu melibatkan Linggi bersama.

meriam

Gambar 2 : Meriam ini pernah digunakan ketika peperangan Linggi-Rembau

 

Pada tahun 1850, selepas Dato’ Muda Mohd Kattas meninggal dunia, Mohd Saleh telah menyandang jawatan Dato’ Muda bermula pada tahun 1850 – 1870. Walaupun ketika pemerintahan Dato’ Muda Mohd Saleh berada di dalam pergolakan politik, beliau masih lagi mampu mengekalkan kewibawaan dan perdagangan di Sungai Linggi. Namun, ketika inilah berlakunya pertukaran atau perubahan sistem perhubungan di antara Linggi dan Rembau. Penghulu Rembau tidak berpuas hati dengan cara Dato’ Muda Mohd Saleh membahagikan hasil cukai di Sungai Linggi di mana beliau telah memberi secara sama rata di antara beliau (1/3), Dato’ Kelana Sungai Ujong (1/3) dan Dato’ Syahbandar Sungai Ujong (1/3). Penghulu Rembau beranggapan selaku ibu kepada Linggi, Rembau berhak mendapat bahagian yang lebih berbanding dengan Dato’ Syahbandar mahupun Dato’ Kelana Sungai Ujong. Perkara ini biasa berlaku di dalam sistem yang mengamalkan sistem matrileneal di mana pihak perempuan mempunyai kuasa terhadap pemberian harta. Ini telah membawa kepada peperangan di antara Rembau dan Linggi dan menyebabkan Dato’ Muda Mohd Saleh memutuskan perhubungan dengan Rembau dan menjalinkan perhubungan dengan Sungai Ujong sebagaimana perbilangan :

 

Linggi beribukan Bandar, berbapakan Kelana

 

makam tok salleh

Gambar 3 : Kubur Dato’ Muda Linggi ke-2 Haji Mohd Salleh bin Haji Amil

 

Dato’ Muda Mohd Peral (1870 – 1893) telah dilantik sebagai Dato’ Muda seterusnya menggantikan Dato’ Muda Mohd Saleh. Pada zaman pemerintahan Mohd Peral, Linggi masih lagi mampu mengawal sistem perdagangan di Sungai Linggi walaupun terdapat beberapa peristiwa yang menyebabkan kehilangan sebahagian daripada kuasanya. Linggi mula kehilangan sepenuh kuasanya selepas Dato’ Muda Mohd Bustam (1893 – 1912) meninggal dunia. Linggi tidak mempunyai Dato’ Muda Lingi selama 20 tahun. Perebutan dan persengketaan di kalangan waris-waris Linggi menyukarkan pemilihan Dato’ Muda dilakukan. Masing-masing menyatakan bahawa mereka lebih layak jika dibandingkan dengan yang lain. Ini menyebabkan Inggeris telah membuat keputusan untuk menggantung jawatan Dato’ Muda Linggi. Ia berdasarkan kenyataan Douglas28 iaitu :-

“It is not necessary for the welfare of the country or even the district to have a new Datuk Muda” 29

Inggeris menjadikan kenyataan Douglas sebagai asas untuk tidak menyokong pelantikan Dato’ Muda Linggi selepas kematian Dato’ Muda Mohd Bustam. Inggeris merasakan bahawa sekiranya Dato’ Muda baru dilantik, ia akan menambahkan kekusutan perebutan perdagangan di Sungai Linggi. Tindakan Inggeris amat difahami bagi melindungi kepentingannya dengan alasan bahawa Linggi tidak memerlukan Dato’ Muda seolah-olah ia tidak memberi kesan terhadap negara mahupun daerah. Inggeris telah mula mengawal dan masuk campur di dalam sistem pentadbiran Linggi dan juga Sungai Ujong.

makam tok peral

Gambar 4 : Kawasan perkuburan Dato’ Muda Linggi ke 3 Mohd Peral dan keluarga

 

Pada tahun 1932, satu usaha telah dijalankan oleh waris-waris Linggi bagi mewujudkan semula jawatan Dato’ Muda Linggi. Usaha ini berjaya di mana Dato’ Muda Hassan Pok telah dilantik sebagai Dato’ Muda Linggi seterusnya oleh Dato’ Kelana Sungai Ujong. Namun, pelantikan ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan waris Linggi kerana ia dikatakan melanggar tatacara pelantikan Dato’ Muda Linggi yang tidak berlandaskan Adat Muafakat Linggi. Ia juga dikatakan bercanggah dengan apa yang diucapkan oleh Penghulu Rembau kepada Dato’ Syahbandar Sungai Ujong :-

 

“…..kami mengesahkanlah anak kami Datuk Muda Linggi yang beradatkan muafakat kebulatan, naik tak bertangga, turun tak berpintu ertinya dahulu menjadi bapa kemudian menjadi anak yakni dahulu guru kami kemudian anak kami maka kami hormatkan seperti menyambut ibu dari atas rumah akan anak pada bapanya dari atas tanah…..”30

 

Ia disokong oleh Dato’ Syahbandar Sungai Ujong :

 

“……….kami mengesahkanlah anak kami Dato’ Muda Linggi yang beradatkan muafakat kebulatan melompat gajah tunggal ertinya dahulu menjadi mak kemudian menjadi anak yakni dahulunya guru kami kemudian anak kami maka kami hormatkan jikalau melompat ia seperti kuat harimau serta tenggelam perahu kami dan mengambor ia seperti kuat gajah serta terdorong perahu kami tiadalah kami menyalahi akan dia dan maufakatlah kita menggelarkan adatnya ‘Adat Maharajalela’”.31

 

Masyarakat Linggi beranggapan bahawa mereka berhak menentukan apa yang berlaku di Linggi dan siapakah yang akan dilantik sebagai Dato’ Muda Linggi tanpa ada gangguan pihak lain. Ini selaras pengiktirafan Penghulu Rembau dan Dato’ Syahbandar Sungai Ujong terhadap Linggi. Ini juga jelas dilihat Adat Muafakat Linggi mengambil konsep demokrasi di mana keputusan majoriti akan diambil kira. Ini berbeza dengan Adat Perpatih yang mengambil keputusan sebulat suara sebagaimana perbilangan “Putih bak telur dikupas”.

 

Apa jua yang berlaku pada 1932, institusi Dato’ Muda Linggi telah berjaya diwujudkan semula dan seterusnya ia disandang oleh :-

 

  1. Dato’ Muda Linggi ke 5 Hassan bin Pok (1932 – 1936)
  2. Dato’ Muda Linggi ke 6 Syed Ahmad bin Syed Muhammad (1936 – 1959)
  3. Dato’ Muda Linggi ke 7 Yahya bin Abu Bakar (1959 – 1974)
  4. Dato’ Muda Linggi ke 8 Abu Zaharin bin Maulud (1974 -  1996)
  5. Dato’ Muda Linggi ke  9 Mohd Basri bin Omar (1996 – sehingga kini)

 

4.         Kesimpulan

Linggi, walaupun sebuah wilayah yang terkecil di dalam Negeri Sembilan mampu membina sistemnya tersendiri. Kemampuan orang Bugis bertahan di dalam sistem kemasyarakatan yang berbeza dengan adat dan budaya Bugis begitu menakjubkan. Ini jelas sebagai masyarakat minoriti di dalam masyakarat Adat Perpatih, mereka telah menunjukkan bahawa mereka juga boleh berjaya dan menandingi orang lain. Namun, disebabkan sikap tamak di kalangan pembesar-pembesar di Negeri Sembilan dan juga perebutan kuasa di kalangan anak-anak Linggi telah menyebabkan tewas di dalam pertempuran yang sengaja diwujudkan oleh Inggeris demi untuk mengaut keuntungan terhadap hasil bumi Tanah Melayu. Kini, Dato’ Muda Linggi dan pembesar-pembesar Linggi tidak lebih sebagai simbol yang tidak pasti selama manakah sistem ini boleh dipertahankan. Kuasa Linggi kini diletakkan di bawah Luak Sungai Ujong dan ungkapan “Linggi Kerajaan Bergajah Tunggal” hanya tinggal ungkapan biasa dan tidak memberi sebarang makna. Ramai yang tidak memahami maksud yang tersirat ungkapan tersebut. Sewajarnya, waris-waris Linggi perlu memahami sejarah kehebatan bagaimana Linggi itu bermula agar kelak ia boleh dipertahankan. Linggi tidak hanya hebat dari segi perdagangan dan pemerintahan malah tokoh-tokoh yang dihasilkan oleh Linggi juga perlu dibangga. Kejayaan tokoh-tokoh Linggi seperti Pendeta Za’aba dan lain-lain bukan sekadar untuk orang Linggi malah untuk orang Melayu keseluruhannya. Di samping itu, pihak berkenaan perlu menyokong sebarang usaha penyelidikan mengenai Linggi. Ini adalah kebanyakan sejarah Negeri Sembilan akan melibatkan Linggi secara langsung atau tidak langsung.

 

 masjid linggiGambar 5 :Masjid Kariah Linggi yang dibina oleh Dato’ Muda Mohd Peral

manuskripGambar 6 : Fasal Peringatan Orang Yang Mula-mula Membuka Linggi

tok mudaGambar 7 : Dato’ Muda Linggi ke 9, Mohd Basri bin Omar

 

Nota Hujung

 

  1. Tuhfat Al-Nafis, hlm 7

 

  1. Bancian Penduduk Bagi Tahun 2010, Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

  1. Norhalim Ibrahim, hlm 2

 

  1. Nama sebenar Dato’ Awaluddin adalah Raja Abdullah. Berdasarkan salasilah keluarga di Beranang dan Lenggeng.

 

  1. Nama sebenar Dato’ Serilah ialah Siti Nur Aminah. Manuskrip Salasilah Keturunan Linggi (Jawi)

 

  1. Lebai Kunut juga dikenali sebagai Daeng Kunut@Unut@Unuk

 

  1. Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah merupakan anak Daeng Celak dengan isteri lain Dipercayai isterinya merupakan keluarga diraja Kesultanan Pagaruyung. Maklumat ini ditemui ketika penulis berkunjung ke Pagaruyung di dalam ekspedisi menjejak perjalanan anak-anak raja Pagaruyung ke Negeri Sembilan.

 

  1. Tuhfat Al-Nafis, hlm 105

 

  1. Ketika ini, Rembau masih lagi menggunakan nama Penghulu dan dianggap sebagai Raja di Rembau. Jawatan Penghulu ditukar kepada Dato’ Undang hanya ditukar setelah Inggeris berjaya menguasai Rembau. Ini berlaku ketika zaman pemerintahan YTM Dato’ Haji Sulung.

 

  1. Pesaka YTM Dato’ Undang Luak Rembau akan digilirkan di antara Biduanda Jakun dengan gelaran Dato’ Lela Maharaja dan Biduanda Jawa dengan gelaran Dato’ Sedia Raja.

 

  1. Penajis Bandar merupakan pelabuhan di Rembau. Masih terdapat keturunan Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah menetap di situ. Namun, agak sukar untuk dikenalipasti kerana berlakunya asimilasi dengan masyarakat Adat Perpatih dan mengikuti sistem kelompok suku.

 

  1. Ahli waris bermaksud individu-individu yang berada di dalam kelompok Suku Biduanda penyandang pusaka Penghulu Rembau / Undang Luak Rembau.

 

  1. Daeng Kemboja juga dikenali sebagai Marhum Janggut.

 

  1. Temu bual dengan Mohd Ali Dahlan, cucu Imam Ambak yang pernah mendengarnya daripada Imam Ambak sendiri.

 

  1. Manuskrip Fasal Peringatan Orang Yang Mula-mula Membuka Linggi dan Ketuhaan dan Manskrip Membuka Linggi Imam Ambak

 

  1. Surat Che’gu Abas Kepada D. O Port Dickson Tarikh 28.7.24 Yang Difail Dalam D.O. P.D. 221/23.

 

  1. MBRAS, Vol. XXII, hlm 54

 

  1. Kanda Ali berkahwin dengan salah seorang keluarga diraja Selangor yang bersemayam di Kuala Selangor. Beliau telah berhijrah dan membuka Kampung Teluk Penyamun di Kuala Selangor. Beliau amat ditakuti oleh Belanda dan dikenali sebagai Raja Lanun. Keluarga ini memegang jawatan Dato’ Penggawa Jeram.

 

  1. Imam Ambak merupakan generasi ke 4 / 5 Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah. Beliau sempat berjumpa dengan orang-orang tua Linggi bagi mengumpul maklumat mengenai pembukaan Linggi.

 

  1. Luak Jelebu, hlm 13

 

  1. Manuskrip Imam Ambak

 

  1. Ibid

 

  1. Dato’ Serilah telah berpindah ke Pengkalan Balak kerana merajuk apabila Lebai Kunut berkahwin lain. Beliau menetap di sana sehingga meninggal dunia. Temu bual dengan YM Dato’ Muda Linggi dan Mohd Ali Dahlan.

 

  1. Salasilah Penyandang Pusaka Dato’ Muda Linggi

 

  1. Juragan Abdul Rahman terlibat dengan perdagangan dan sering berulang alik ke Melaka, Riau, Sungai Ujong dan Singapura.

 

  1. Manuskrip Linggi

 

  1. Penulis dimaklumkan bahawa Juragan Abdul Rahman dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 6, Tanjung Pinang. Penulis pernah menziarahi makam tersebut ketika lawatan ke Tanjung Penyengat pada tahun 2004.

 

  1. Memangku jawatan Residen Sungai Ujong dari 11.8.83 sehingga 15.8.83

 

  1. Fail SSNS/SU, ANM Misc 1134/93.

 

  1. Manuskrip Imam Ambak

 

  1. Ibid


Bibliografi

Al-Quranul Karim

 

A. Samad Idris, Abdul Muluk Daud, Muhammad Tainu & Norhalim Ibrahim (1994). Luak Jelebu. Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri, Negeri Sembilan.

 

Abas Haji Ali, Rembau (1953), Sejarah Perlembagaan Adat dan Istiadatnya, Jabatan Undang-Undang dan Perlembagaan Adat dan Adat Istiadat Melayu Rembau.

 

Abdullah Hussain & Khalid M. Hussain (2000). Pendeta Za’aba Dalam Kenangan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

 

Bland, R. N. (1895). Aturan Sungai Ujong. JSBRAS

 

Cave, J. (1989). Naning In Melaka : History, The Customs, Tribes & Clans, The War, Independece. Monograf 16. MBRAS

 

Gullick, J. M. (1949). Sungai Ujong. MBRAS, Vol XXII. Part 2. Kuala Lumpur

 

Gullick, J. M (1992). Rulers and Residents Influence In The Malay States 1870 – 1920. Oxford University Press, Singapura.

 

Gullick, J. M. (2003). A History of Negeri Sembilan. Monograf 33. MBRAS.

 

Hamid Abdullah (1984). Perubahan Sosial Di Kalangan Masyarakat Keturunan Bugis Di Linggi dan Kesannya Ke atas Masalah Kepimpinan. Tesis Untuk Ijazah Doktor Falsafah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (2010). Laporan Bancian Penduduk Tahun 2010. Majlis Daerah Port Dickson

 

Mohamad Said, Tan Sri, Dr. (1982). Memoirs Of A Menteri Besar. Heinemann Educational Books (Asia) Ltd, Petaling Jaya.

 

Mohd Ali Dahlan (1976). Linggi Sejarah Perkembangan Sistem Politiknya Abad 19 Dan 20. Latihan Ilmiah B.A Hons, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

 

Norhalim Ibrahim (1998). Sejarah Linggi : Pintu Gerbang Sejarah Pembangunan Negeri Sembilan. Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lupur.

 

Norhalim Ibrahim (1995). Negeri Yang Sembilan : Daerah Kecil Pusaka Adat Warisan Kerajaan Berdaulat. Fajar Baki Sdn Bhd, Shah Alam.

 

Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji (1982). Tuhfat Al-Nafis, V.Materson (ed.). Fajar Bakti Sdn Bhd, Petaling Jaya

 

Shellabear, W. G. (1991). Sejarah Melayu  (edisi 25). Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Petaling Jaya

 

Winstedt, R & Josephine de Jong, (1954), A Digest of Customary Law From Sungai Ujong. JMBRAS. Part XXVII Part 3. Singapore

 

Zaharah Ismail, (1983). Perang Naning : 1831-1832. Latihan Ilmiah Bagi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian), Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia.


Manuskrip

Manuskrip Catatan Cikgu Abdul Samad bin Zainuddin

Manuskrip Imam Ambak

Manuskrip Membuka Linggi Imam Ambak

Manuskrip Fasal Peringatan Orang Yang Mula-mula Membuka Linggi dan Yang Ketuhaan.

Manuskrip Salasilah Keturunan Linggi

Manuskrip Salasilah Linggi Menurut Rashidah binti Dato’ Muda Mohd Salleh

Manuskrip Ringkasan Asal Keturunan Orang Bugis Oleh Ahmad Muhammad Zain Al Fathani

Salasilah Keturunan Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah

Salasilah Penyandang Pusaka Dato’ Muda Linggi

Salasilah Keluarga Raja Haji Susunan Raja Muhammad Asyura bin Raja Ibrahim

Salasilah Penyandang Dato’ Penggawa Jeram

Surat Siaran Yang Ke 4, Mohd bin Said, Tan Sri, Dr.

Surat Siaran Yang ke 5, Mohd bin Said, Tan Sri, Dr.

Surat Siaran Yang ke 6, Mohd bin Said, Tan Sri, Dr.

Surat Siaran Yang ke 7, Mohd bin Said, Tan Sri, Dr.

Surat Siaran Yang ke 8, Mohd bin Said, Tan Sri, Dr.

 

————————————————————–

Sumber : Prosiding Konvensyen Antarabangsa Bugis Diaspora, UTM, 2011

Be Sociable, Share!

Comments

comments

18 comments for “Bugis Linggi

  1. PakMail
    March 9, 2013 at 1:17 pm

    Terima kasih atas info ini. Saya membaca dengan penuh minat. Ibu saya dari keturunan Bugis. Tetapi saya tidak tahu dari salasilah apa….

  2. March 20, 2013 at 2:11 pm

    Kertas kerja ini sangat berguna untuk generasi muda mengetahui Sejarah Linggi. Tahniah

    • Waris Linggi
      March 20, 2013 at 2:15 pm

      Terima kasih cikgu. Kami bersedia untuk membantu SMK Dato’ Yusof untuk memberi salinan sebagai simpanan di galeri sekolah.

  3. malaysian
    April 4, 2013 at 2:19 am

    menarik. tak tahu pun sejarah linggi berlainan dgn wilayah negeri 9 yg lain.

    bugis sebenarnya bukan melayu. bugis adalah bangsa yg berdiri sendiri. sama seperti minang dan jawa.

    • Waris Linggi
      April 5, 2013 at 11:03 am

      Linggi memang tidak sama dengan luak yang berada di Negeri Sembilan. Dari sudut sejarah, Linggi lebih ‘independent’ dan tidak bersandar ke mana-mana luak.

      Menurut catatan Bugis Linggi memang berasal dari Luwu’, ada pendapat yang mengatakan daripada jalur Daeng Kemboja. Ada juga berpendapat mereka berasal daripda jalur daeng Menambun. Manakala pendapat yang masyhur mengatakan mereka berasal dari jalur Daeng Chelak.

  4. malaysian
    April 4, 2013 at 2:31 am

    saya ingin bertanya,

    Bugis Linggi ini asalnya dari kerajaan mana di Tanah Bugis?

    Adakah dari LUWU?

  5. LInggi diperantauan
    May 3, 2013 at 11:20 am

    Dokumen yang cukup ringkas dan padat. Dapat saya berkongsi dengan anak2.

    • Waris Linggi
      May 3, 2013 at 2:48 pm

      Terima kasih

  6. Rizal
    May 19, 2013 at 7:51 pm

    saya tertarik mengenai cerita awal mengenai pembukaan Kerajaan Linggi oleh Dato Awalluddin..dikatakan bahawa pengikutnya yang awal berpecah dua iaitu ada yang tinggal di Pengkalan Balak, Masjid Tanah Melaka..adakah orang Masjid Tanah iaitu kebanyakan yang tinggal berdekatan Pengkalan Balak dan Tg Bidara berketurunan Bugis Riau ?

  7. Waris Linggi
    May 20, 2013 at 11:18 am

    Saya kurang pasti mengenai perkara tersebut. Apa yang pasti ialah masih ada hubungan kekeluargaan di antara keluarga di Masjid Tanah dan Pengkalan Balak dengan keluarga di Linggi.

  8. Orang Linggi d Borneo
    June 3, 2013 at 2:52 pm

    Saya waris Dato’ Muda Yahya Bin Abu. Menarik tulisan saudara ….

    • Waris Linggi
      June 4, 2013 at 1:15 am

      Terima kasih.

  9. Orang Linggi d Borneo
    June 3, 2013 at 2:54 pm

    Moyang perempuan saya belah mak pula asal bugis selangor….

  10. ABDULLAH
    July 13, 2013 at 6:41 am

    Assalam.Boleh sesiapa menerangkan kaitan antara penduduk asal diMukim Rantau, (30 km dari Linggi.) Ada yang mengatakan keturunan dari linggi yang datang membuka Pekan Rantau. t kasih

    • Waris Linggi
      July 13, 2013 at 12:32 pm

      Salam tuan,

      Berdasarkan maklumat yang kami ada, penduduk asal Rantau tidak mempunyai kaitan dengan Linggi. Rantau sebahagian dari Sungai Ujong. Kebanyakan mereka yang merantau dari Rembau dan Sungai Ujong. Penduduk asal Rantau juga dikatakan berasal dari Kelang. Tuan boleh berjumpa dengan Dato’ Lembaga/Buapak Waris Kelang di Rantau.

  11. sarah
    April 1, 2014 at 8:02 pm

    apakah nama tempat specific untuk kaum bugis? kerana saya sedang membuat soal selidik berkenaan dengan keistimewaan kaum bugis.. saya ingin nama tempat dan orang yang boleh saya hubungi untuk mengetahui lebih lanjut bagi melaksanakan kerja kursus saya ini..

    • Waris Linggi
      April 1, 2014 at 9:04 pm

      Maaf. Kami kurang jelas dengan pertanyaan cik puan. Adakah ia merujuk di Negeri Sembilan atau di tempat lain?

  12. mohd saleh abbas
    August 6, 2014 at 2:52 am

    Menarik sekali. Saya cucu kepada imam ambak. Tidak ketahuan selama ini datuk saya pernah menulis tentang pembukaan linggi. Insyaallah akan terus mengikuti perkembangan salasilah bugis linggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *