Pembahagian Harta Pusaka Dalam Adat Perpatih

Pengenalan

Keunikan Negeri Sembilan ialah sistem Adat Perpatihnya. Adat ini telah diamalkan zaman-berzaman dan telah diwarisi daripada generasi-generasi yang terdahulu secara oral. Terdapat juga kepercayaan bahawa sistem ini telah diwarisi dati Tanah Minang kerana terdapat banyak persamaan dari segi falsafah dan amalannya, di kedua-dua daerah tersebut. Adat Perpatih ialah satu cara hidup yang lengkap tetapi seperti sistem sosial yang lain, Adat Perpatih juga mengalami banyak perubahan. Banyak aspek adat ini tidak diamalkan lagi. Sebagai contoh amalan membuat harta pusaka bagi kaum perempuan.

Sebagai satu sistem sosial, Adat Perpatih telah banyak dikaji, bukan sahaja oleh pengkaji-pengkaji tempatan tetapi juga oleh pengkaji luar, baik dari timur mahupun barat. Hasil kajian ini banyak terdapat di perpustakaan dalam dan luar negara dan kebanyakan kajian-kajian ini juga telah diterbitkan sama ada dalam bentuk artikel dalam jurnal atau buku. Isi kandungan kajian ini juga berbeza-beza. Ada yang mengkaji sistem ekonomi, ada yang melihat siste politik dan tidak kurang juga yang mengkaji sistem pewarisan harta dan kedudukan wanta dalam Adat Perpatih.

Kertas kerja ini pula akan cuba mengkaji dan menilai sistem pembahagian harta pusaka dalam Adat Perpatih. Walaupun isu yang akan dibicarakan ini bukanlah satu isu baru tetapi masih kerap dibincangkan. Kebelakangan ini telah timbul polemik tentang isu ini dalam Utusan Malaysia dan hak tersebut telahpun dijawab dengan tepat dan wajar oleh Tan Sri Samad Idris. Polemik ini timbul masih ada lagi orang lelaki Negeri Sembilan yang masih mempersoalkan sistem pewarisan harta pusaka tersebut dengan menuduh bahawa sistem yang ada sekarang, yang telah kita amalkan zaman-berzaman itu tidak sesuai lagi kerana bercanggah dengan ajaran Islam. Pada saya orang yang tidak memahami sistem adatnya sendiri, apatah lagi hendak memahami falsafah yang tersirat di sebalik sistem tersebut adalah jahil. Kita seharusnya mengkaji sistem itu sedalam-dalamnya sebelum kita memberi pandangan yang negatif itu. Saya harap seminar ini akan membuka mata mereka yang tidak mahu memandang keindahan sistem Adat Perpatih itu dan sekaligus seminar ini juga akan dapat mengikis prasangka yang ada terhadap sistem itu. Seperti perbilangan :-

Panjatlah batang setingginya
Agar bertemu pucuk dan selaranya
Galilah akar sedalam-dalamnya
Agar bertemu akar tunjang dan isinya

Rumah gadang beri berpintu
Supaya terang jalan ke halaman
Jika digumpal selebar kuku
Kalau dikembang selebar alam

Kepada pengkritik yang tidak memperhalusi Adat Perpatih perbilangan juga ada mengatakan :-

Kalau berguru kepalang ajar
Umpama bunga kembang tak jadi
Kalau hanya sekadar dapat didengar
Tidak akan dapat di dalam dan difahami
Mengeruk tidak sehabis gaung
Meraba tidak sehabis rasa
Banyak fahamnya yang tidak langsung
Sehingga bertukar tujuan dan maksudnya

Konsep Harta Dalam Adat Perpatih

Dalam Adat Perpatih, konsep harta boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu harta pusaka, harta carian, harta pembawa dan harta dapatan. Harta pusaka hanya boleh diwarisi oleh orang perempuan dan akan diperturunkan kepada generasi perempuan yang seterusnya dalam sesuatu suku. Harta pusaka ini termasuklah rumah, tanah, barang-barang perhiasan, perabot-perabot dan sebagainya yang dianggap berharga. Yang ditakrifkan sebagai tanah termasuklah tanak tapak rumah, tanah sawah, tanah kebun getah, tanah tebat dan tanah dusun buah-buahan.

Mengikut Han Dieter-Evers yang mengkaji sistem tanah pusaka di Minangkabau, konsep pusaka boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu pusaka tinggi dan rendah. Harta pusaka tinggi ialah harta yang telah dimiliki oleh lebih dari satu generasi perempuan sementara harta pusaka rendah ialah harta yang belum diperturunkan atau diwariskan lagi tetapi harta ini ada potensi untuk menjadi harta pusaka tinggi. Harta ini akan menjadi harta pusaka tinggi setelah diperturunkan kepada anak-anak perempuan. Harta ini termasuklah sama ada harta ayah atau ibu tetapi dengan dengan syarat, harta itu mestilah diwariskan kepada anak perempuan atau saudara perempuan di dalam sesuatu suku tersebut mengikut nasab ibu.

Dalam Adat Perpatih, konsep harta pusaka ini amat jelas. Mengikut perbilangan :-

Terbit pusaka kepada saka
Si lelaki menyandang pusaka
Si perempuan yang punyai pusaka
Orang semenda yang membela

Jelasnya, harta pusaka ialah hak suku dan orang perempuan yang juga merupakan suku atau pengembang zuriat sesuatu suku ialah “guardian” atau penjaga amanah harta tersebut. Pusaka yang boleh diwarisi oleh lelaki ialah jawatan-jawatan yang penting dalam Adat Perpatih seperti Undang, Lembaga dan Buapak. Namun demikian, pewarisan jawatan-jawatan ini juga bergantung kepada keahliannya kepada sesuatu suku yang berhak mewarisi tanah pusaka tetapi mereka mempunyai hak memakai. Maksudnya, mereka boleh tinggal menumpang d rumah pusaka semasa mereka bujang atau menduda dan mereka tidak boleh menjual hasil tersebut.

Harta carian pula ialah harta pencarian suami isteri atau dikenali juga sebagai harta carian laki bini. Apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia harta itu tinggal untuk pasangan yang hidup dan anak-anak mereka. Kalau pasangan ini bercerai maka harta pencarian ini dibahagi sama rata. maka untuk mengenal pasti harta pencarian, suami dan isteri mestilah mengiystiharkan dua jenis lagi harta semasa hendak berkahwin iaitu harta pembawa dan harta dapatan.

Harta pembawa ialah harta carian suami semasa dia masih bujang. Harta itu mengikut adat boleh dituntut oleh keluarganya sekiranya suami meninggal dunia dan tidak mewasiatkan atau mewariskan tanah itu kepada steri atau anak-anaknya. Sekiranya pasangan ini bercerai, harta itu boleh diambil semula oleh si suami.

Harta dapatan pula ialah harta yang dimiliki oleh si perempuan sebelum ia berkahwin sama ada untuk kali pertama, kedua atau seterusnya. Termasuk dalam konsep harta dapatan ini ialah harta carian bujang, carian janda, harta sepencarian perempuan yang diperolehinya setelah bercerai.

Pembahagian Harta Pusaka

Di Negeri Sembilan, jumlah tanah pusaka adalah 1,382.6 hektar dan daripada jumlah ini, 720 hektar atau 51.2% terdapat di daerah Kuala Pilah (Azizah Kassim, 1990:130). Seperti yang kita sedia maklum, tanah pusaka ialah hak kaum wanita dan hanya anak-anak perempuan daripada nasab ibu yang sama sahaja berhak mewarisi harta tersebut. Maka tidak hairanlah sekiranya sebilangan besar tanah-tanah tersebut bersaiz kecil. Hal ini berlaku mungkin bukan sahaja kerana jumlah anak perempuan yang ramai tetapi juga kerana tanah pusaka yang asal itu sememangnya sedia ada kecil dan ditambah pula oleh sistem pewarisan yang telah berjalan bergenerasi lamanya. Kajian Azizah Kassim di Seri Menanti menunjukkan bahawa “pemilihan purata bagi tiap-tiap orang ialah kira-kira 0.2 hektar bagi tanah kampung dan 0.1 hektar bagi tanah sawah” (1990:130). Walau bagaimanapun, Azizah juga berpendapat, “kadar pemilikan ini tidak menggambarkan keadaan yang sebenarnya. Ada antara orang-orang yang didaftarkan namanya sebagai pemilik sudah lama meninggal dunia dan lot kepunyaan mereka ini belum dipindahmilik kepada anak-anak dan cucu-cucu (perempuan) mereka yang ramai bilangan”.(1990:130)

Terdapat beberapa pola pewarisan tanah pusaka ini dalam Adat Perpatih. Mengikut adat atau kelaziman, tanah pusaka itu menjadi milik waris yang terdekat. Oleh itu keutamaan deberikan kepada anak perempuan dan cucu perempuan selepas itu barulah adik-beradik perempuan dan anak-anak mereka. Sekiranya pemilik tanah tersebut tidak ada anak perempuan maka tanah tersebut akan diwarisi oleh ahli-ahli perut yang lain, kerana seperti yang dijelaskan, tanah tersebut adalah milik suku dan seharusnya tanah itu tidak jatuh ke tangan orang lain.

Mat Zean Aziz dalam kajiannya di Rembau, mendapati ada lima corak pewarisan tanah pusaka yang diamalkan di sana iaitu pewarisan secara terus, pewarisan kepada adik atau kaka atau anak saudara, pewarisan kepada sanak ibu atau anak sanak ibu, pewarisan kepada sanak datuk dan pewarisan sanak moyang (1990:75). Pewarisan secara terus bermaksud harta itu diwariskan kepada orang yang sememangnya mempunyai hak utama menerima harta tersebut iaitu anak perempuan, darah daging sendiri.

Lazimnya, selain pewarisan secara terus, pola pewarisan yang lain melibatkan dua proses iaitu proses jual-beli atau pembayaran pampasan kepada si pemilik harta pusaka ataupun tanah itu diberi melalui sistem umpukan. Di dalam sistem umpukan ini, tanah itu diwariskan kepada anak sanak ibu ataupun sanak datuk kerana si pemilik harta yang tidak beranak perempuan telah memelihara pewaris itu kecil lagi. Jadi pewarisan tanah pusaka dalam hal ini telah dibuat berdasarkan kasih sayang (Mat Zean Aziz, 1990:76). Di dalam proses yang pertama, si pemilik harta mungkin telah menjual tanah tersebut untuk membiayai perjalanannya ke Mekah untuk mengerjakan haji atau wang itu digunakan untuk “membeli haji” ibunya yang tidak sempat mengerjakan ibadat tersebut.

Sebagai pemegang amanah kepada tanah atau harta pusaka, kaum wanita yang menerima pusaka tersebut tidak dapat lari daripada menjalankan beberapa tanggungjawab yang dikenali juga sebagai hutang pusaka. Antara lain tanggungjawab ini termasuklah :-

  1. membayar hutang saudara lelakinya yang masih bujang
  2. memberi tempat tinggal kepada saudara lelakinya yang masih bujang atau yang menduda atau yang sakit
  3. membayar belanja mengisi adat kahwin atau denda-denda yang berkaitan dengan adat.
  4. mengeluarkan belanja untuk menyelenggara kematian dan kenduri-kendara yang berkaitan
  5. membantu belanja menunaikan fardhu haji ke Mekah
  6. memberi belanja menuntut ilmu di luar negeri
  7. membeli haji bagi si pemilik asal harta pusaka yang telah meninggal dunia.

Pewarisan Pusaka dan Islam

Banyak orang berpendapat bahawa oleh sebab sistem pewarisan pusaka ini memberi keutamaan kepada kaum perempuan maka sistem ini bercanggah dengan Islam. Seperti kita sedia maklum Islam menggunakan sistem faraid iaitu orang lelaki akan menerima dua kali ganda bahagian seorang perempuan. Oleh itu banyak lelaki yang menyatakan sistem ini tidak adil.

Sebenarnya persoalan adil atau tidak seharusnya tidak timbul kerana masalah ini telah lama diselesaikan oleh nenek moyang kita. Bagi mereka adat dan Islam itu saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Di Minangkabau contohnya, adat itu telah wujud sebelum kemasukan Islam kerana sistem adat mereka yang disesuaikan dengan alam banyak persamaannya dengan Islam. Mengikut perbilangan :-

Penakik pisau seraut
Ambil galah batang lintabuang
Seludang ambil ke nyiru
Yang setitik dijadikan laut
Yang sekepal dijadikan gunung
Alam terkembang jadikan guru

Bagi pengamal Adat Perpatih hubungan antara adat dan Islam amat jitu. Perbilangan mengatakan :-

Adat bersendikan syara
Syarak bersendikan Kitabullah
Syarak mengata adat memakai
Cermin yang tidak kabur
Pelita yang tidak padam

Kedua-dua adat dan Islam menuntut pengikut-pengikutnya berbuat baik dan menghindarkan kejahatan.

Pada adat :

Menghilangkan yang buruk
Menimbulkan yang baik

Pada syarak :

Menyuruh buat baik
Menegah buat jahat

Seperti Islam, Adat Perpatih juga mengamalkan sistem muafakat dan musyawarah di dalam usaha mencari sesuatu jalan penyelesaian.Pewarisan pusaka ini juga telah dibuat berlandaskan muafakat kerana lazimnya sema ahli suku yang terlibat, lelaki dan perempuan, telah bersetuju dengan pembahagian tersebut.

Perbilangan ada mengatakan :-

Walaupun hinggap yang mencekam
Kuku yang tajam tidak berguna
Kalau memegang tampuk alam
Kata muafakatlah yang lebih berkuasa

Duduk seorang bersempit-sempit
Duduk bersama berlapang-lapang
Kata seorang dibulatkan
Kata bersama dimusyawarahkan
Yang raja kata muafakat
Yang benar kata seia

Sayugia diingatkan juga bahawa lelaki Adat Perpatih juga berhak ke atas harta-harta lain ang tidak ditakrifkan sebagai harta pusaka. Contohnya, mereka mempunyai hak ke atas tanah kebun, tanah sawah, tanah kebun getah, keris, kereta, saham dan sebagainya yang dikategorikan sebagai harta pusaka.

Pemberian harta pusaka ini kepada perempuan ada rasional dan falsafahnye tersendiri. Tujuan utama dilakukan adalah untuk menjaga maruah dan harga diri kaum perempuan Adat Perpatih terutama kalau mereka diceraikan. Jadi sekurang-kurangnya mereka ada harta untuk menyara hidup mereka anak beranak. Harta ini juga mngkin dapat memudahkan usaha mereka mencari jodoh yang baharu. Si suami hanya perlu mengerjakan sawah yang sedia ada sahaja. Sekiranya si perempuan tidak mempunyai harta pusaka mungkin senario ini berbeza sekali. Mereka mungkin terdesak melakukan kerja-kerja maksiat untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Di dalam Adat Perpatih tersirat juga nilai-nilai moral yang tinggi sesuai dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, Adat perpatih mementingkan konsep budi dan kepentingan budi dapat dilihat dalam perbilangan berikut :-

Kuat rumah kerana sendi
Rosak sendi rumah binasa
Kuat bangsa kerana budi
Rosak budi hancurlah bangsa

Konsep budi di dalam diri seseorang insan Adat Perpatih seharusnya tercerna dalam empat nilai pula iaitu rasa, perisa, malu dan sopan. Rasa ialah apa yang terasa atau tercuit oleh diri seperti kata perbilangan :-

Yang elok dek awak
Setuju dek orang hendaknya
Sakit dek awak sakit dek orang
Lemak dek awak lemak dek orang

Perisa pula ialah perasaan yang dirasakan oleh hati nurani manusia. Malu pula ialah sifat-sifat positif yang harus ada pada diri seseoran. Kita harus malu kerana kita miskin dan dengan itu harus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menempa kejayaa, Kita juga harus malu kalau saudara perempuan kita hidup merempat kerana hartanya dibolot oleh saudara lelakinya. Sopan pula ialah tingkah laku di dalam pergaulan sehari-hari. Jadi, selagi orang Adat Perpatih maih lagi memiliki rasa, perisa, malu dan sopan selagi itulah mereka harus akur bahawa sistem pewarisan pusaka mereka itu merupakan sesuatu yang baik untuk mereka.

Kesimpulan

Sistem pewarisan pusaka Adat Perpatih ini bukanlah satu sistem yang sempurna tetapi merupakan satu sistem pembahagian harta yang terbaik bagi masyarakat Adat Perpatih amnya dan kaum perempuan khususnya. Dari segi hukum adat, sistem ini tidak boleh dipertikaikan lagi kerana memang jelas bahawa harta pusaka itu hak perempuan. Sebarang pertikaian yang berlaku mungkin dari segi menentukan siapakah pewaris yang sah menerima pusaka terebut.

Walaupun ada pendapat yang mengatakan sistem faraid itu lebih adil tetapi apa yang jelas sistem ini bukanlah satu sistem yang mutlak. Sistem ini seperti juga undang-undang dan peraturan-peraturan yang diadakan akan hanya dirujuk sekiranya ada pertelagahan. Pada dasarnya, Islam juga menggalakkan muafakat, musyawarah dan perundingan untuk menyelesaikan sebarang sengketa yang membabitkan pewarisan harta. Perlu juga diingatkan bahawa orang yang di luar Adat Perpatih juga tidak menggunakan sistem faraid sepenuhnya. Kajian Lim Teck Ghee dan rakan-rakan di kawasan perairan Muda, Kedah mendapati tuan-tuan tanah yang membahagi-bahagikan tanahnya semasa dia masih lagi (1980:9). In mereka lakukan melalui sistem hebah. Melalui hebah tuan-tuan tanah ini telah mewariskan tanahnya kepada anak perempuan kesayangannya supaya anak tersebut mendapat hak yang lebih daripada yang lain jika harta tersebut dibahagikan secara faraid.

Nota :

Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Pengemaskinian Pensejarahan Negeri Sembilan, di Allson Klana Resort Seremban, pada 29 Ogos 1996.

Sumber :
Norazit Selat
Warisan 22

Be Sociable, Share!

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *