Perubahan

Pelbagai komen kami terima para pembaca Nagari Nan Tuo mengenai entri sebelum ini. Ada yang menyokong. Ada juga menyamakan kami dengan spesis yang menjatuhkan Kesultanan Melaka. Ada menyerang kami secara peribadi. Bagi kami tidak menjadi masalah atau kudis. Sesiapapun boleh memberikan pandangan dan pendapat. Kami akui kami bukanlah orang bijak dan pandai. Kami hanya sekumpulan anak muda yang ingin meletakkan semula adat dan warisan kami di tempat sepatutnya. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam penulisan terawal kami bahawa laman ini bukan hanya membincangkan mengenai adat, warisan dan sejarah Negeri Sembilan malah ia juga menyentuh isu-isu semasa yang berkaitan dengan adat, warisan dan sejarah Negeri Sembilan. Kami akui apa yang kami nyatakan memang terperinci kerana kami membuat kajian terlebih dahulu.

 

Persoalan pembayaran kontraktor. Di kalangan pembekal LMNS merupakan rakan-rakan kami. Setiap kali minum bersama pasti isu pembayaran dibangkitkan. Mereka menzahirkan perasaan kecewa, mengeluh dan seperti peminta sedekah demi untuk mendapatkan hak mereka. Kami buka, baca dan fahami setiap pekeliling dan dasar yang melibatkan pembayaran kontraktor.

 

Persoalan artifak, sekiranya pihak LMNS benar-benar menjaga artifak kenapa ada barang yang hilang.  Tidak cukupkah 2 berita kehilangan artifak di dalam penjagaan LMNS yang disiarkan oleh Berita Harian dan Berita Minggu. Berdasarkan kehilangan ini, kami meletakkan persoalan kenapa tiada sistem kawalan kamera litar tertutup yang memantau keselamatan muzium. Sesiapa yang pergi Istana Lama Muzium Diraja Seri Menanti, pasti akan melihat begitu gahnya kamera litaar tertutup berada di dinding muzium. Begitu juga di Teratak Za’ba, Replika Raja Melewar dan Muzium Seremban. Jika benar ada sistem kawalan kamera litar tertutup kenapa ada kehilangan artifak. Apakah yang akan tinggal untuk tatapan anak cucu kami nanti jika artifak semuanya hilang? Adakah perlu kakitangan LMNS membocorkan rahsia?

Kami merasa malu apabila ditanya oleh rakan-rakan yang datang melawat Muzium Diraja Seri Menanti. Mereka melihat bagaimana keadaan mesin x-ray terbiar begitu sahaja. Mereka mempersoalkan kenapa mesin tersebut terbiar. Kalau di luar negara ia akan dijaga dan dijadikan bahan tarikan pelancong.  Adakah perlu kakitangan LMNS membocorkan rahsia?

Begitu juga sistem kebakaran. Salahkah kami mempersoalkan sistem kawalan kebakaran. Bayangkan bangunan kayu yang begitu besar tidak mempunyai sistem kebakaran. Setidak-tidaknya ada loceng penggera kebakaran.  Adakah perlu kakitangan LMNS membocorkan rahsia?

Persoalan seterusnya, persoalan tiada aktiviti dan promosi. Kami sendiri pun tak faham apa perlu kami menyelongkar fail muzium untuk mendapatkan maklumat. Cuba lihat Facebook LMNS. Jika tidak mahu bandingkan dengan facebook mana-mana muzium. Bandingkan dengan Facebook Nagari Nan Tuo. Lihat perbezaan. Kami tidak menganggap facebook kami adalah terbaik.  Adakah perlu kakitangan LMNS membocorkan rahsia?

Cuba bandingkan dengan Muzium Bugis yang terletak di Benut. Promosi yang dijalankan lebih hebat jika dibandingkan dengan Muzium Megeri Sembilan. Semuanya dilakukan tanpa bantuan kerajaan. PBT hanya menyediakan tempat manakala perbelanjaan pengurusan, papan tanda, pembersihan dan promosi semuanya dilakukan sendiri oleh pemiliknya. Pemilik berjaya menjadikan Muzium Bugis terkenal di kalangan pelancong luar negara dan tempatan.

Apakah aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun? Kalau hanya 3 atau 4 pameran, ia tidak boleh dianggap satu kehebatan bagi sebuah muzium. Tidak perlu berada di dalam muzium untuk mendapatkan apakah aktiviti yang dijalankan. Lihat papan tanda yang terdapat di pintu masuk LMNS. Lihat pamplet pelancongan Negeri Sembilan. Apakah aktiviti anjuran LMNS disenaraikan selain daripada Pesta Persukuan Adat Perpatih?  Adakah perlu kakitangan LMNS membocorkan rahsia?

 

Persoalan pendokumentasian, berapa banyak kajian dijual? Ketika Pesta Persukuan Adat Perpatih mesti akan ada pelancaran buku baru. Kenapa tidak dipromosikan? Bayangkan harga buku setebal 40-60 muka surat berharga RM50. Kadangkala kami sendiri merasakan terlalu mahal untuk dimiliki. Apatah lagi pelajar universiti. Adakah perlu kakitangan LMNS membocorkan rahsia tersebut?

Adakah akta atau enakmen itu rahsia kerajaan? Kalau ia adalah rahsia kerajaan, pasti MPH, Popular, Borders atau semua kedai buku tidak boleh menjualnya. Ia akan dirampas oleh pihak berkuasa. Semuanya boleh didapati dengan mudah. Jika tidak mampu beli atau tidak ada dijual, pergi ke mana-mana perpustakaan, cari, baca dan fahamkan. Adakah perlu kakitangan LMNS membocorkan rahsia?

Jawapan kami “TIDAK”. Kami tidak perlu menjadi kakitangan muzium, pengintip atau pembelot. Kakitangan LMNS juga tidak perlu membocorkan rahsia. Perkara ini semuanya ‘common sense’ . 

Kami tidak faham betapa mudahnya barisan pentadbiran negeri menuduh rahsia bocor kepada pihak pembangkang. Adakah dengan hanya menegur terus dianggap sebagai pembangkang. Adakah semua teguran itu perlu datang daripada pembangkang. Alasan yang diberikan menampakkan barisan pentadbiran kerajaan negeri tidak pernah melawat mana-mana muzium di Negeri Sembilan selain daripada acara rasmi.

Adakah kita mengamalkan perbilangan ini :-

Tibo kek mato dipicing an

Tibo kek dado dibusung an

Tibo kek poghot dikompih an

Tibo kek kaki dibengkok an

Kita harus bertindak seperti perbilangan ‘Boghanak soghang, jago ghamai‘. Jangan amalkan ‘Boghanak ghamai, jago soghang‘.

Apapun yang berlaku, kami tetap konsisten dengan pendirian kami. Kami akan tetap menegur kerajaan negeri di dalam aspek penjagaan adat dan warisan tempat kelahiran kami. Kami telah menjelaskan setiap persoalan yang kami kemukakan kepada YBhg Dato Sri Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara. Penjelasan di atas merupakan sebahagian daripada penjelasan kami kepada YBhg Dato’ Sri KSN. Ada beberapa penjelasan yang tidak boleh nyatakan di sini. Terpulanglah kepada pihak yang berkenaan untuk bertanggungjawab menyelesaikannya.

surat

——————————-

Kami memohon agar kakitangan LMNS yang cuba menjadi juara, tidak perlu jawab atau masuk campur. Kalian menyukarkan keadaan. Jalankan tugas kalian dengan baik. Sila serahkan tugas menjawab kepada pihak yang sepatutnya. Komen kalian tidak membina.

Tidak semestinya setiap kajian kami perlu diterbitkan di dalam buku. Sudah mencukupi apa yang kami tulis di laman sesawang Nagari Nan Tuo. Kami mempunyai alasan tersendiri kenapa ia tidak diterbitkan sebagai buku. Tidakkah kalian terfikir bahawa sebelum ini kalian tidak mengetahui sejarah Kerajaan Anak Air Garam, tidak pernah mendengar nama Sayyid Ismail bin Sayyid Abdul Rahman, tidak pernah terfikir wujudnya Kerajaan Kepayang, tidak mengenali siapakah Sarjan Hassan, Kapten Yazid Ahmad, Encik Aziz, malah tidak tahu Aminuddin Baki berasal dari Negeri Sembilan dan tidak mengetahui sejarah Rumah Tradisional Negeri Sembilan.

Tidakkah kalian malu apabila mengambil bahan daripada orang yang menyalak bukit dan orang yang tidak bekerja. Tidakkah kalian malu meletakkan maklumat tersebut di dalam laman sesawang LMNS tanpa menyebut sumber.

Akhir sekali, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembaca laman sesawang Nagari Nan Tuo. Kami masih menanti apakah jawapan YB Dato’ SUKNS terhadap persoalan-persoalan kami. Semoga ada perubahan. Insya Allah.

 

———————————————

Ketepikan persoalan fahaman politik. Baca apa yang ditulis oleh sahabat kami mengenai Negeri Sembilan iaitu Senapang Orang Melayu dan Orang Luar Mengajar Adat Perpatih.

Be Sociable, Share!

Comments

comments

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *